Kompleks parkir bertingkat Stesen LRT Gombak, yang bakal menyediakan kemudahan ‘Parkir & Gerak’ (Park ‘n Ride) untuk lebih 1,200 pemilik kereta untuk membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandaraya Kuala Lumpur, akan mula dibuka kepada orang ramai mulai 6 pagi Jumaat ini (1 Februari 2013).
Dibuka percuma sehingga 15 Februari, kompleks enam tingkat itu, bagaimanapun, hanya boleh diakses dengan menggunakan Kad MyRapid – kad pintar (cashless smartcard) transit Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) yang boleh didapati di mana-mana stesen LRT dan Monorel.
“Anda hanya perlu menyentuh panel imbas di pintu masuk dengan Kad MyRapid dan terus memandu masuk ke kawasan letak kereta. Tingkat bawah, bagaimanapun, dikhaskan untuk pemandu wanita dan golongan orang kelainan upaya (OKU),” kata Encik Lim Jin Aun, Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik PRASARANA dalam satu kenyataan hari ini.
“Dengan kemudahan ‘Parkir & Gerak’ ini, pihak kami berharap lebih ramai pemilik kenderaan khususnya yang tinggal di kawasan Gombak, Batu Caves, Selayang, Melawati dan Melati akan memilih untuk menggunakan pengangkutan awam untuk urusan harian mereka.
“Langkah ini bukan saja menjimatkan kos; tetapi juga memastikan perjalanan yang lancar dan terancang di samping menyokong usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar dengan menggunakan pengangkutan awam,” tambah beliau.
Secara terperinci, kompleks yang dihubungkan terus dengan Stesen LRT Gombak, menyediakan 1,260 petak letak kenderaan termasuk 158 yang khusus untuk pemandu wanita dan 24 untuk golongan OKU di Tingkat Bawah.
Kompleks bernilai hampir RM30 juta itu, yang mula dibina pada bulan Jun 2010, mempunyai pelbagai ciri-ciri istimewa seperti sistem penunjuk arah parkir atau ‘Parking Guidance System’ (PGS), sistem pengurusan parkir tanpa tunai, dan sistem pengawasan TV litar tertutup.
Dengan adanya system PGS ini, jumlah parkir yang masih kosong mengikut aras akan dipamerkan sebelum pintu masuk bagi memudahkan pengguna menuju terus ke aras yang berkenaan, justeru, menjimatkan masa.
Dilengkapi dengan dua lif, kompleks itu turut mempunyai kemudahan butang penggera (panic button) sebagai langkah perlindungan tambahan kepada para pengguna semasa situasi cemas, di samping pengawal keselamatan yang bertugas.
Selain Gombak, Prasarana turut membina sebuah lagi kemudahan parkir bertingkat di Stesen LRT Ampang, yang dijangka siap hujung tahun ini.
Dalam menyediakan keselesaan untuk para pengguna LRT dan Monorel, PRASARANA turut membina laluan jejantas dan persiar kaki termasuk yang menghubungkan Stesen LRT PWTC dengan PWTC dan Terminal Putra, Stesen Sultan Ismail dengan Maju Junction di Jalan Sultan Ismail dan Stesen LRT Pasar Seni ke Stesen Keretapi KTM.
PARKING COST
No comments:
Post a Comment